


Alhamdulillah, buat kesekian kalinya Eidul Fitri kembali menyinari umat Islam pada fajar 1 Syawal. Beruntunglah mereka yang menyambutnya dengan terlebih dahulu menjalani ibadah puasa dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah lebih baik dari Ramadan yang sebelumnya dan berazam pula untuk menambah baik seandai diizin untuk bertemu Ramadan yang akan datang.
Seperti tahun lalu, Taman Bukit Katil Damai menjadi lengang menjelang Syawal. Tambahan pula sekolah mula bercuti sejak Isnin. Justeru ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal. Pun begitu ada juga yang beraya di taman memandangkan kampung mereka terletak berhampiran.
Kebetulan saya sekeluarga juga tidak pulang ke kampung pada tahun ini memandangkan ayahanda dan bonda mentua berada dan menyambut Eidul Fitri di sini.
Terlanjur ada yang tidak kemana-mana pada malam raya lalu, kami telah berpakat mengadakan program takbir rumah ke rumah. Yang hadir antaranya selain saya ialah Ustaz Hanif, Rashidi, Rosli, Hanif, Rahman, Kamarul dan Ustaz Ghazali yang menjadi khalifah mengepalai takbir dan tahlil arwah.
Bermula kira-kira 9.00 malam, program berakhir hampir jam 2.00 pagi. Meriah juga malam itu diserikan dengan takbir, tahmid dan takdis memuji Ilahi. Mudah-mudahan yang mengundang rahmat dan keberkatan kepada seisi Taman Bukit Katil Damai, InsyaAllah. T.BUKADA
No comments:
Post a Comment