

Malam tadi kawalan SRS(Skim Rondaan Sukarela) diteruskan buat pertama kalinya pada bulan Ramadan. Kebetulan giliran Kumpulan 4. Walaupun ahli kumpulan 4 tidak semua yang hadir tetapi ramai pula rakan-rakan lain turut sama berjaga.
i.
Seperti biasa rondaan dilakukan setiap sejam sekali. Tak ada apa yang luar biasa. Cuma beberapa anjing liar kelihatan berkeliran di Jalan 3. Sambil berkawal sambil menikmati roti canai dan teh tarik. Ahh....
Jam 2.45 pagi, Seorang remaja lelaki bermotosikal masuk ke taman. Sampai di pos kawalan, remaja tersebut ditanya tujuan dia masuk ke taman dalam ketika kebanyakan orang sedang dibuai mimpi. Katanya dia ingin membayar hutang cikgunya yang tinggal di Taman BKD. Cuma yang mencurigakan ialah dia sendiri tidak tahu nama dan alamat sebenar cikgunya itu. Yang agak melucukan ialah hutang yang ingin dilunaskan itu hanya berjumlah rm10.00 sahaja, Bayangkan betapa' setianya; seorang anak murid terhadap gurunya yang kononnya pula adalah seorang guru wanita.
Lantaran curiga dengan gelagat remaja itu, salah seorang dari rakan kami mengiringinya untuk mencari rumah cikgu tersebut. Kira-kira lima minit kemudian kedua mereka kembali ke pos kawalan. Ternyata rumah 'cikgu' yang dicari tidak ditemui malah kemungkinan tidak wujud.
Tidak puas hati dengan situasi dan gelagat remaja itu, beberapa rakan lain mula melakukan 'soal siasat'. Anak siapa gerangan yang berlegar-legar di luar rumah pada waktu sebegitu. Soal punya soal berbagai jawapan yang timbul. Akhirnya remaja itu diminta menghubungi ibu bapanya. Ibunya menjawab dan mengesahkan bahawa remaja itu adalah anak beliau dan bersetuju untuk datang menemui daan menjemput anaknya itu balik, kebetulan pula rumah mereka tidak jauh dari Taman Bukit Damai.
Sepuluh minit kemudian datanglah sepasang suami isteri. Si ayah berperawakan serius sementara si ibu pula lemah lembut. Setelah diberi penerangan oleh Ustaz Ghazali, si ayah akur akan karenah anaknya dan mengatakan bahawa beliau sendiri telah puas mencari anaknya itu sejak awal malam lagi. Satu pukulan hinggap ke beakang anaknya oleh si ayah. Kami cuba menenangkan keadaan. Barulah terbuka kisah sebenar di mana si anak tadi memang jarang melekat di rumah terutama apabila pulang bercuti dari asrama sekolah. Hampir 20 minit juga kami 'beramah mesra' dengan suami isteri itu. Walaupun keadaan agak tegang tetapi kami kami telah melaksanakan satu tanggungjawab sosial dan amar makruf iaitu cuba memberi perhatian kepada kepincangan yang melibatkan remaja. Semoga tindakan kami itu tidak disalahtafsir terutama oleh pasangan suami tersebut malah sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran bukan sahaja kepada mereka malah kepada kami yang juga mempunyai anak-anak termasuk anak remaja.
ii.
Sebelum menamatkan tugas SRS malam tadi, kami setelah mendapat restu pengerusi taman, cuba menghidupkan satu tradisi terutama di kampung-kampung iaitu aktiviti membangunkan penghuni taman untuk bangun bersahur-Ketuk-Ketuk Sahur.
Apa lagi walaupun dalam keadaan yang sedikit malu-malu, kami pun pusing kelliling taman sambil membunyikan hon, meniup wisel dan memukul kompang sambil berteriak, bangun sahur, bangun sahur. Semoga aktiviti ini tidak sampai menimbulkan 'kemarahan' penghuni taman. Apapun ianya sedikit sebanyak dapat mengembalikan nostalgia yang hanya berlaku pada bulan Ramadan. T.BUKADA
No comments:
Post a Comment